Apr 11, 2023 - FASSelangor meraih tiga mata penuh dalam perlawanan Liga Super 2023 selepas menewaskan Kelantan FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dengan keputusan 3-0.
Statistik perlawanan melihat 63% penguasaan bola, 84% ketepatan hantaran, 19 percubaan dan 7 sepakan penjuru. Jaringan pertama telah dijaringkan oleh Ayron Del Valle pada minit ke-28 dan dua gol minit ke-80 serta 90 dijaringkan oleh Rauf Salifu.
Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, bangga dengan kesungguhan pasukan meraih tiga mata berturut-turut dan mahu pemain muda untuk terus bekerja keras kerana mereka adalah masa depan kelab.
“Saya ucapkan tahniah kepada para pemain kerana berjaya meraih tiga mata berturut-turut. Walau bagaimanapun, sebagai Ketua Jurulatih, bagi saya banyak lagi yang kita perlu perbaiki terutamanya dari segi kawalan bola, menyerang dan lain-lain perlu lebih tajam.
Pada perlawanan #SELKEL kita nampak pemain gantian telah berikan impak yang terbaik kepada pasukan. Salah satu sasaran utama saya mengambil alih Selangor adalah menyediakan pemain muda tempatan untuk masa akan datang. Saya yakin jika mereka diberikan peluang, mereka akan berikan persembahan terbaik. Saya juga berharap mereka terus bekerja keras untuk pastikan mereka tersenarai dalam kesebelasan utama kerana mereka adalah harapan di masa akan hadapan,” jelas Tan Cheng Hoe.
Daripada perlawanan #SELKEL semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Ayron Del Valle penjaring ketiga terbanyak Liga Super setakat ini
Pemain import penyerang baharu Selangor FC berjaya meledak gol dalam perlawanan #SELKEL pada minit ke-28 perlawanan, sekali gus menempatkan beliau di tempat ketiga penjaring terbanyak Liga Super 2023 setakat ini dengan lima jaringan gol. Ayron dilihat semakin serasi beraksi bersama pasukan dengan hantaran-hantaran baik beliau dalam memulakan serangan bagi membantu rakan sepasukannya.
Rauf Salifu menunjukan taringnya
Penyerang muda berasal dari Ghana, Rauf Salifu semakin mendapat keserasian dan mula menonjolkan dirinya dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-80 serta 90 perlawanan membawa kemenangan kepada pasukan. Mengikut statistik, Rauf telah membuat dua percubaan, dua percubaan tepat dan menjaringkan dua gol pertama beliau bersama Gergasi Merah dalam 22 minit beliau beraksi.
Khairulazhan menambah jumlah ‘Cleansheet’
Penjaga gawang utama pasukan, Khairulazhan berhaya menjadikan #SELKEL perlawanan ketiga ‘cleansheet’ dalam saingan Liga Super 2023 dan ke-31 rekod peribadinya bersama skuad Merah Kuning.
Norhakim Hassan menambah rekod ‘assist’ beliau
Pemain sayap pasukan, Hakim telah dimasukan pada minit ke-62 perlawanan bagi menambah sengat gentera serangan. Beliau terlibat dalam kedua-dua jaringan Rauf Salifu, beliau telah ‘assist’ jaringan kedua Rauf Salifu pada minit ke-90 dan menjadi pemain kedua terakhir yang membuat hantaran tepat kepada Mukhairi Ajmal sebelum Rauf Salifu menjaringkan gol pertamanya.
Terima kasih kepada penyokong Gergasi Merah yang hadir biarpun perlawanan berakhir lewat malam. Jasa anda amat kami hargai.
Semoga pasukan terus kekalkan momentum baik ini dalam perlawanan seterusnya. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!